Selamat Datang ke Blog Hadee Hamdan, jangan lupa untuk Follow ye dan Terima Kasih sebab sudi luangkan masa membaca. Hadee harap info yang disharekan ni dapat memberi sedikit ilmu untuk pembaca semua

Thursday 13 December 2012

Larangan Menyerupai Gaya Hidup Orang Bukan Islam

credits to
Imam Muda Muhammad Asyraf.

Hidup remaja makin tersasar ajaran syariat

Islam adalah agama dan juga cara hidup yang diturunkan oleh Allah swt kepada sekalian manusia melalui pesuruh dan juga rasulNya iaitu Nabi Muhammad saw. Risalah yang dibawa oleh Baginda saw adalah risalah terakhir dan hanya agama Islam sahaja yang diterima dan diiktiraf oleh Allah swt sebagai anutan dan pegangan seluruh umat manusia tidak kira bangsa, darjat mahupun keturunan.

Dalam hal ini Allah swt telah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 85: “Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai agama (cara hidup) maka tidak akan diterima daripadanya dan pada hari akhirat dia termasuk di kalangan orang-orang yang rugi”. Firman Allah swt dalam Surah al-Maidah ayat 3 : “Pada hari ini (hari Arafah) telah Aku sempurnakan agama kamu (Islam) dan telah Aku cukupkan bagi kamu nikmat-nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama kamu semua”.

Daripada kedua-dua ayat ini maka dengan jelas difahami bahawa hanya agama Islam yang diterima oleh Allah swt sebagai panduan manusia dan sesungguhnya agama Islam merupakan agama yang lengkap tidak perlu kepada sebarang penambahan yang ditegah dalam agama sama ada penambahan tersebut berlaku dalam konteks perlaksanaan ibadah tertentu mahupun yang berkaitan dengan pegangan dan juga ideologi pemikiran.

Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut dengan kepercayaan dan budaya orang bukan Islam terutamanya daripada golongan Yahudi dan Nasrani. Nabi saw telah bersabda: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan tersebut” (Hadith riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albaniy). Daripada hadith ini jelas menunjukkan bahawa Nabi saw melarang kita secara umum daripada mengikut atau menyerupai cara hidup orang-orang kafir. Perkara yang dilarang dalam hadith ini adalah segala bentuk cara hidup yang bertentangan dengan syariat Islam ataupun sesuatu tindakan yang menunjukkan syiar sesuatu agama lain. Menyerupai atau mengikut gaya kehidupan orang bukan Islam ini juga termasuklah dalam perkara akidah, ibadah, adat dan akhlak yang menunjukkan ciri-ciri terentu bagi mereka. Namun dalam perkara yang berkaitan dengan pembangunan urusan kehidupan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dan tidak pula melambangkan syiar sesuatu agama maka kita diharuskan untuk mengikutinya demi kemaslahatan umat Islam.

Dewasa kini kita sering  kali melihat sesetengah masyarakat yang lebih terpengaruh dengan gaya hidup asing yang bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara yang paling jelas yang dapat kita lihat adalah kebebasan pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa menjadikan neraca syariat sebagai kayu ukurnya. Budaya kebebasan pergaulan yang tiada sempadan ini bukanlah daripada ajaran Islam tetapi ini adalah pengaruh luar yang dibawa ke dalam dunia masyarakat Islam hari ini. Maka tidak hairanlah ada di kalangan anak muda yang terjebak dengan pelbagai dosa daripada kebebasan ini disebabkan mengambil budaya luar dan melupakan batasan syarak yang telah diletakkan oleh Islam.

Kebimbangan ini telah dinyatakan oleh Nabi saw dengan sabda baginda: “Sesungguhnya kamu akan mengikut gaya hidup golongan sebelum kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka masuk ke lubang biawak nescaya kamu akan mengikutinya” (Hadith muttafaqun ‘alaih).

Begitulah juga dengan serangan budaya yang menyerap dalam kehidupan masyarakat kita terutamanya di kalangan para pemuda-pemudi dan remaja. Kita terikut-ikut dengan budaya yang ‘luar biasa’ daripada budaya dan adat yang kita fahami dan laziminya. Trend pemakaian yang dan gaya yang dipilih biarlah bersesuaian dengan budaya kita dan tidak bertentangan dengan syarak. Sudah tentu kita tahu dan pernah belajar bahawa mendedahkan aurat bukanlah daripada cara hidup Islam namun kita dapati masih ramai yang belum faham dengan tuntutan ini. Di samping itu pakaian-pakaian yang terdapat padanya ciri-ciri budaya orang bukan Islam perlulah juga dielakkan seperti pakaian yang terdapat padanya gambar salib, tengkorak, gambar-gambar tidak menutup aurat dan juga apa-apa sahaja yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Sesungguhnya dalam perlaksanaan ibadah, Nabi saw melarang kita daripada mengikut ibadah-ibadah orang bukan Islam terutama mereka yang beragama Yahudi dan Nasrani. Dalam ibadah solat kita dilarang mengikut tatacara sembanhyang orang Yahudi mahupun Nasrani. Antaranya kita dilarang menjadikan kubur-kubur sebagai masjid mahupun tempat ibadat seperti yang telah dilakukan oleh golongan Yahudi dan Nasrani. Sabda Nabi saw :” Sesungguhnya laknat Allah ke atas orang Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadat). (Hadith muttafaqun ‘alaih).

Nabi saw juga melarang seseorang itu meletakkan pakaian di atas sebelah bahu dan tidak pula di sebelah bahu yang lain ketika solat. (Hadith riwayat Abu Daud). Telah berkata Ibnu Taimiyyah bahawa larangan tersebut disebabkan ianya mengikut tatacara solat golongan Yahudi. Dalam hadith yang lain Nabi saw melarang perbuatan ‘ihtisor’ iaitu meletakkan tangan di atas tulang rusuk ketika solat.(hadith riwayat al-Hakim). Perkara ini juga merujuk kepada upacara ibadat orang Yahudi.

Begitulah juga dalam ibadah puasa. Kita amat disunatkan untuk bersahur sebelum daripada menunaikan ibadah puasa. Sesungguhnya dengan kita bersahur maka terdapat padanya keberkatan. Hal Ini berdasarkan hadith Nabi saw : “Bersahurlah sesungguhnya dengan bersahur tersebut adanya keberkatan” (Hadith muttafaq ‘alaih). Perlulah kita ketahui juga bahawa puasa yang tidak ada padanya ibadah sahur dengan sengaja adalah seakan-akan mahu menyerupai puasa golongan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani).Berkenaan hal ini Nabi saw telah bersabda : “Perbezaan antara puasa kita dan juga puasa Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah dengan makan sahur”. (Hadith riwayat al-Bukhari). Antara perkara yang perlu diambil perhatian juga dalam ibadah puasa ini adalah dengan mempercepatkan berbuka puasa apabila telah masuk waktunya. Dalam sebuah hadith Nabi saw bersabda: “Agama itu akan sentiasa nyata selagimana manusia mempercepatkan berbuka puasa (tidak menangguhkannya) kerana umat umat Yahudi dan Nasrani akan melewatkannya (berbuka). (Hadith riwayat Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albaniy).

Berkenaan Hari Asyura pula kita sebagai umat Islam disunatkan supaya berpuasa pada hari tersebut iaitu pada 10 Muharram. Bagi golongan Yahudi hari Ayura merupakan hari perayaan mulia bagi mereka dan mereka juga berpuasa pada hari itu.

Diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari ra dengan kata beliau : “Sesungguhnya Hari Asyura adalah hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan mereka menyambutnya sebagai suatu perayaan. Maka Nabi bersabda : “Maka berpuasalah kamu semua (pada hari Asyura)”. (Sahih Muslim)

Namun Nabi saw menegah para sahabat daripada berpuasa hanya pada hari Asyura tetapi perlulah ditambah sehari bersama-sama Hari Asyura sama ada pada hari ke sembilan atau dikenali sebagai hari Tasu’a ataupun pada hari ke-11 Muharram.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ketikamana Nabi berpuasa pada hari Asyura dan mengarahkan sahabat untuk turut sama berpuasa, maka para sahabat memberitahu Nabi bahawa hari tersebut adalah hari kemuliaan bagi mereka yang beragama Yahudi dan Nasrani, maka Nabi saw bersabda: ” Jikalau begitu pada tahun hadapan kita akan turut berpuasa pada hari kesembilan (bersama-sama hari Asyura)”. Namun Nabi wafat dan tidak sempat berpuasa pada tahun tersebut. (Riwayat Muslim).

Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan suruhan supaya puasa Asyura itu digabungkan dengan sehari sebelum atau sehari selepasnya untuk menunjukkan perbezaan antara agama Islam dan agama Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani).

Kesimpulannya, Nabi saw melarang umat Islam daripada terikut-ikut dengan prinsip dan budaya masyarakat non muslim yang bertentangan dengan syariat Islam. Bagaimanapun, jika sesuatu perkara itu tidak bertentangan dengan syariat dan memberi kemaslahatan kepada umat Islam  maka perkara tersebut perlu diambil dan diterapkan sebagai nilai-nilai murni dalam kehidupan kita.

No comments: