Selamat Datang ke Blog Hadee Hamdan, jangan lupa untuk Follow ye dan Terima Kasih sebab sudi luangkan masa membaca. Hadee harap info yang disharekan ni dapat memberi sedikit ilmu untuk pembaca semua

Tuesday 21 January 2014

Ilham Hiasan Doktor Pakar


dr
Dari jauh, tersergam indah rumah agam milik Dr Zulkornain, anak jati Sarawak yang merupakan Pakar Perunding Perubatan di Hospital Pakar Senawang, Negeri Sembilan. Sebaik sahaja tiba di hadapan banglo, saya terpaku seketika menghayati keindahan seni binanya yang lain daripada biasa. Hati tidak sabar-sabar hendak melihat rekaan dan hiasan dalaman banglo ini. Pasti secantik luaran. Melangkah ke ruang tamu, ternyata benarlah telahan hati. Saya terpukau melihat gaya penataan ruang yang disimbah rona putih.
dr12
“Saya sangat menyukai putih kerana warna ini membuatkan ruang nampak lapang dan luas serta menyejukkan pandangan mata. Putih ini apabila bersatu dengan suasana hijau di luar rumah, membuatkan ruang nampak lebih segar dan hidup,” kata Dr Zulkornain.
dr11
Apabila saya berdiri di ruang tamu sambil berpusing, saya dapat melihat kawasan sekeliling yang serba menghijau dengan jelas. Itulah yang saya mahukan. Saya sangat menyukai konsep terbuka iaitu dapat terus melihat luar tanpa halangan. Masalah ruang menjadi panas menjelang tengah hari tidak timbul kerana saya memilih kaca berwarna yang kalis haba,” ujarnya.
dr10
Terletak di tingkat dua banglo, ruang tamu turut ditempatkan piano besar berwarna putih. “Binaan siling double volume bukan saja membuatkan ruang terasa berganda luas malah bunyi yang dihasilkan piano lebih sedap didengar,” katanya yang turut memilih sofa, meja kopi dan kemasan lantai mamar serba putih.
dr9
Ruang tamu bersiling tinggi ini seolah-olah tidak berdinding apabila tuan rumah mengutamakan penggunaan dinding kaca berbanding konkrit dan tidak menggantung langsir! “80 peratus binaan di ruang tamu terdiri daripada kaca.
dr8
Menonjolkan seni bina moden, banglo ini dibina di atas tanah kosong. Biarpun pihak pemaju mengutarakan beberapa contoh rekaan banglo namun Dr Zulkornain memilih rekaan sendiri menerusi bantuan arkitek dan pereka dalaman, Lau Choo Cheng. Ilham seni bina itu diperoleh sewaktu melancong di luar negara dan turut memasukkan imaginasi beliau yang menyukai gaya moden.
dr7
Kombinasi putih, kelabu dan hitam menjadi pilihan dalam elemen hiasan setiap sudut. Saya sempat menjengah ke ruang dapurnya yang tersusun rapi tanpa cela. Seolah-olah mampu membaca apa yang bermain dalam fikiran, Dr Zulkornain cepat-cepat bersuara, “…memanglah bersih, orang bujang jarang masak.”
dr6
Kelebihan memilih rekaan sendiri membenarkan Dr Zulkornain mencipta setiap ruang lebih selesa. Misalnya tingkat bawah menempatkan bilik tidur, bilik pembantu rumah, bilik air, ruang dapur kering dan ruang legar serta kolam renang, seolah-olah seperti berada di unit penthouse! Di sinilah dijadikan lokasi penggambaran klip video lagu Masih Aku Cinta nyanyian Shila Amzah yang dilakonkan oleh Johan dan Julia Ziggler.
dr5
Di tingkat dua, selain ruang tamu, bilik tidur utama, ruang dapur kering yang dilengkapkan kabinet unit berpulau serba moden dan ruang makan utama, terdapat pembahagi ruang beraras selisih untuk ruang keluarga di tingkat tiga. “Setiap kali hendak makan, saya akan menikmatinya di sini kerana kedudukannya menghadap kolam renang,” jelas Dr Zulkornain.
dr4
Tingkat paling atas menempatkan dua bilik tidur tetamu dan satu ruang yang sangat menarik perhatian saya kerana kelainan penataannya. Saya seolah-olah berada di sebuah pusat hiburan kerana terdapat ruang menonton dan berkaraoke. Ruang bersantai ini dilengkapkan dengan dua meja tinggi dan empat kerusi tinggi sebagai tempat menikmati minuman ringan. Di sini jugalah beliau meraikan kunjungan sahabat yang bertandang ke rumah. Sangat berbeza dengan aras lain, ruang ini dihias aksesori berwarna. Biarpun tiada dinding pemisah untuk ruang menonton dan berkaraoke, Dr Zulkornain menggantung langsir tebal yang serap bunyi.
dr3
“Semua perabot rumah ini mengikut cita rasa saya. Saya memilih perabot tempatan tetapi menampilkan rekaan moden, designer’s design. Menerusi bantuan arkitek Lau, rumah idaman menjadi realiti,” katanya sambil melahirkan rasa puas hati dengan hasil kerja arkitek Lau.
dr2
Menurut Dr Zulkornain, banglo ini adalah rumah kedua, rumah pertama di Putera Height, Subang Jaya, pernah disiarkan dalam Anjung Seri tahun 2002. “Rumah itu tidak saya jual tetapi disewakan kepada sahabat,” tambahnya yang merancang mengekalkan tatahias rumah bergaya moden tetapi lebih berwarna-warni selepas lima tahun.
dr00
Sekali pandang, pasti ramai tidak menyangka beliau adalah seorang doktor kerana penampilannya bagaikan seorang selebriti. Dr Zulkornain juga tidak kisah dengan statusnya yang sudah lama membujang, “…saya sangat sibuk dengan tugasan harian, saya pun lebih tenang begini.”



No comments: