Selamat Datang ke Blog Hadee Hamdan, jangan lupa untuk Follow ye dan Terima Kasih sebab sudi luangkan masa membaca. Hadee harap info yang disharekan ni dapat memberi sedikit ilmu untuk pembaca semua

Saturday 25 January 2014

BR1M 3.0 diagih bulan Februari

PERDANA Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini semalam. Turut kelihatan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri).
Kuala Lumpur: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) yang dianggarkan berjumlah RM4.5 bilion akan diagihkan kepada kira-kira 7.9 juta penerima mulai pertengahan bulan depan, kata Datuk Seri Najib Razak. 
Perdana Menteri berkata, bantuan itu diharap mampu membantu rakyat menghadapi masalah kenaikan harga barang, selain memberi jaminan kerajaan akan terus memantau masalah berkaitan bekalan berikutan kemungkinan berlaku tindakan pemborong menaikkan harga. 
“Ini (BR1M) akan membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang,” katanya yang juga Presiden UMNO pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, petang semalam yang turut dihadiri, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
Jumlah penerima tahun ini meningkat 1.1 juta orang berbanding hanya 6.8 juta penerima BR1M 2.0, tahun lalu. Melalui Bajet 2014 yang diumumkan pada Oktober lalu, keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan bawah RM3,000 layak menerima BR1M sebanyak RM650 serta caruman takaful i-BR1M RM50. 
Mereka yang berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000 pula layak menerima RM450, caruman takaful RM50 manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000 bakal menerima RM300. 
Ekonomi meyakinkan 
“Jika dilihat dari segi pelaburan, pertumbuhan ekonomi, inflasi, saham, bursa saham...ekonomi kita berada dalam keadaan baik dan meyakinkan. Tetapi, tidak dinafikan rakyat menghadapi masalah berhubung kenaikan harga. Kerajaan sedang menangani perkara ini dengan pelbagai langkah yang diumumkan,” katanya. 
Mengulas mengenai penyelesaian 10 perkara dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu, Najib berkata ia tertakluk kepada undang-undang Persekutuan dan negeri. 
Dalam isu ini, katanya MT UMNO menyokong pendirian kerajaan untuk terus mempertahankan kesucian dan kemuliaan Islam termasuk kalimah Allah selain mengambil maklum mengenai penyelesaian 10 perkara yang dipersetujui Kerajaan Persekutuan. 
“Jika negeri berkenaan mempunyai enakmen, maka 10 perkara itu tertakluk kepada enakmen negeri dan jika negeri tiada enakmen seperti Sabah dan Sarawak, maknanya amalan biasa boleh diteruskan dan tiada pihak harus menakutkan pihak lain,” katanya sambil menjelaskan peraturan itu terkandung dalam perkara kesembilan. 
Mengenai isu ada pihak yang mencabar titah Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mengenai penggunaan kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam, Najib menjelaskan, titah itu dibuat ketika sambutan hari keputeraan baginda, bukannya atas kapasiti Yang di-Pertuan Agong. 
“Tuanku bertitah sebagai ketua agama negeri, mana-mana negeri yang ada enakmen itu, (rakyat) perlu mematuhinya,” katanya.



No comments: